LONDON: Jurgen Klopp makin serabut kerana Liverpool mungkin menentang pendahulu, Leicester City tanpa sembilan tonggak dalam aksi Liga Perdana Inggeris, Ahad ini (3.15 pagi Isnin waktu Malaysia).
Sudahpun dihimpit kecederaan lutut dua pertahanan tengah, Virgil van Dijk dan Joe Gomez, The Reds makin parah apabila beberapa lagi pemain penting berada dalam senarai diketepikan.
Bek kanan, Trent Alexander-Arnold masih menjalani rawatan paha, manakala Andy Robertson (bek kiri) dan kapten, Jordan Henderson mengalami kecederaan ketika membawa cabaran negara masing-masing dalam saingan Eropah.
Pemain versatil Brazil, Fabinho belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan kaki.
Thiago Alcantara turut dihimpit masalah lutut dan Mohamed Salah kini menjalani pengasingan selepas disahkan positif Covid-19.
Alex Oxlade-Chamberlain yang sudah berbulan tidak beraksi akibat kecederaan panjang masih belum bersedia diturunkan.
Klopp kini perlu mengatur strategi terbaik tanpa barisan terkuat untuk menghadapi pasukan yang dibimbing bekas pengurus Liverpool, Brendan Rodgers di Anfield.
Jika dia memilih formasi 4-3-3, Alisson cergas untuk menjaga gawang sambil dibantu James Milner, Joel Matip, Nat Phillips dan Kostas Tsimikas di benteng.
Roberto Firmino, Sadio Mane dan Diogo Jota mungkin mengetuai serangan, manakala pemain muda, Curtis Jones bersedia digandingkan dengan Georginio Wijnaldum dan Naby Keita di bahagian tengah. – AGENSI