KUALA LUMPUR: Penyokong bola sepak tempatan menganggap pembatalan saingan Piala Malaysia telah menambah lagi suasana suram buat arena bola sepak negara sepanjang musim 2020.
Beberapa kejohanan sebelum ini seperti Piala Belia, Piala Presiden, Liga Futsal Perdana Malaysia, Piala Cabaran dan Piala FA telah menjadi mangsa awal kepada pandemik Covid-19.
Musim ini boleh dikatakan paling menyedihkan dan suram dalam sejarah bola sepak tempatan angkara Covid-19 yang turut menyaksikan saingan Liga Super dan Liga Perdana hanya berlangsung satu pusingan melibatkan 11 perlawanan.
Lebih malang, satu-satunya wakil negara Johor Darul Ta’zim (JDT) yang mempunyai peluang untuk melayakkan diri ke peringkat kalah mati terpaksa menarik diri daripada saingan peringkat kumpulan G Liga Juara-Juara Asia (ACL) yang dijadualkan berlangsung di Doha, Qatar pada pertengahan bulan ini selepas tidak dibenarkan ke sana.
Begitupun, tiada siapa mahukan keadaan ini berlaku baik pengurusan pasukan, pemain, penyokong dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) sendiri, namun apakan daya kita terpaksa akur demi kesihatan dan keselamatan bersama.
Lebih memeritkan, seluruh rakyat juga terpaksa melupakan keinginan untuk menyaksikan aksi skuad kebangsaan, Harimau Malaya selepas kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 dan Piala AFF turut ditangguhkan ke tahun depan.
Presiden Kelab Penyokong Anak Selangor (ASFC), Mohd. Faizal Wahid mengakui, seluruh peminat bola sepak tempatan terpaksa akur dengan keputusan kerajaan yang tidak membenarkan saingan Piala Malaysia diteruskan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
“Sudah tentu sedih dan hampa. Pelbagai langkah dan perancangan sudah dibuat MFL termasuk melakukan (prosedur operasi standard) SOP yang ketat selain bermain di satu tempat namun ditolak. Bukan saja Liga Malaysia tapi penyertaan JDT di ACL juga turut terjejas akibat Covid-19.
“Sebagai penyokong, bagi saya tahun 2020 adalah musim yang suram buat arena bola sepak negara kerana kita bukan saja tidak dapat hadir ke stadium, tapi juga tidak dapat melihat aksi piala berprestij dan tertua itu.
“Selain itu, aksi skuad Harimau Malaya juga ditangguh menyaksikan peminat-peminat bola sepak negara tidak dapat menikmati suasana dan kemeriahan bola sepak seperti sebelum ini,” katanya.