KANNUR, India: Walaupun kriket adalah sukan No. 1 di India, namun kematian Diego Maradona mengejutkan salah sebuah negeri di negara itu yang mengisytiharkan tempoh berkabung selama dua hari, manakala penyokong pula berkumpulan di bilik hotel yang pernah diduduki legenda bola sepak itu.
Maradona yang meninggal dunia pada usia 60 tahun malam tadi, sangat dihormati di Kerala tatkala kulit lobster yang pernah dimakan ketika lawatan pada 2012 juga turut dikering dan dibingkaikan.
Sekumpulan peminat dan wartawan menuju ke Hotel Blue Nile di Kannur untuk memberi penghormatan selepas kerajaan negeri mengumumkan tempoh berkabung serta pemuzik tempatan pula mengalunkan lagu ditujukan khas kepada legenda berkenaan.
Pemilik hotel, Ravindran Veleimbra mengimbau kembali detik Maradona masuk ke lobi hotelnya.
“Dewa kami sudah sampai, beliau berada di depan kami,” katanya kepada AFP.
Lawatan Maradona menimbulkan kekecohan di negeri bahagian selatan India itu, yang mengubah tradisi sukan daripada kriket kepada bola sepak.
Veleimbra masih ingat peristiwa di mana segerombolan peminat memakai jersi biru dan putih Argentina memenuhi jalan raya, malah ada yang mengharungi perjalanan beratus kilometer menaiki kereta, bas serta basikal.
Apa saja barang yang Maradona sentuh di Bilik 309 semuanya dijadikan bahan pameran. – AFP