LONDON: Jurgen Klopp sekali lagi meluahkan rasa tidak puas hatinya terhadap jadual Liga Perdana Inggeris (EPL) yang ‘bahaya’ selepas Liverpool terikat 1-1 di Brighton, malam tadi.
Klopp menyaksikan dua gol Liverpool dibatalkan pengadil, manakala lawan dihadiahkan dua sepakan penalti dalam aksi di Stadium Falmer.
Seri bagaimanapun membolehkan Reds kembali menerajui EPL dengan kelebihan satu mata ke atas Tottenham, yang akan bertemu Chelsea malam ini.
Bertambah malang buat Liverpool, James Milner menjadi pemain terbaharu berada dalam senarai kecederaan selepas dibawa keluar pada babak kedua akibat masalah hamstring.
“Tahniah. Anda bekerja untuk mereka bukan? Hamstring, kejutan.
“Saya bukan marahkan pihak penyiaran, saya cuma mengatakan keadaan sebenarnya.
“Selepas Rabu (aksi Liga Juara-Juara), kami kena bermain pada Sabtu 12.30 tengahari dan ia amat bahaya untuk pemain-pemain,” kata Klopp selepas perlawanan.
Liverpool mendahului 1-0 menerusi Diogo Jota pada minit ke-60 selepas penyerang Brighton, Neal Maupay gagal menyudahkan sepakan penalti di separuh masa pertama.
Bagaimanapun, Liverpool dikejutkan dengan jaringan masa kecederaan selepas Andrew Robertson tersepak kaki Danny Welbeck ketika mahu mengeluarkan bola.
Brighton dihadiahkan sepakan penalti selepas pengadil, Stuart Attwell mengubah keputusannya sebaik sahaja merujuk video bantuan pengadil (VAR).
Pascal Gross menyempurnakan sepakan penalti, sekali gus menyaksikan Klopp mengejek pengadil dengan memberikan tepukan selepas perlawanan tamat. – AFP