ALOR SETAR: Pengurusan baharu Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) dicabar membuat laporan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu kutipan tabung Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) yang dilancarkan pada Januari tahun lalu.
Cabaran itu dibuat oleh Bekas Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Mohd. Asmirul Anuar Aris berhubung berhubung isu kutipan tabung Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) yang dilancarkan pada Januari tahun lalu.
Kutipan itu bagi menampung kos guaman berkaitan kes perpindahan pemain tengah, Akhyar Rashid ke Johor Darul Takzim (JDT).
Mohd. Asmirul berkata, pendedahan isu tersebut menimbulkan tohmahan terhadap pengurusan lama setelah pihaknya sentiasa memperjuangkan integriti ketika menguruskan badan induk tersebut.
Beliau berkata, pendedahan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Seni dan Budaya, Belia dan Sukan dan Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Mohd. Firdaus Ahmad semalam mengenai hasil kutipan berjumlah RM10,411, yang dicatatkan dalam akaun KFA tidak tepat.
“Apa yang saya nyatakan sebelum ini adalah, KFA pada masa itu menyasarkan jangkaan kutipan sebanyak RM50,000 bagi membayar kos guaman melebihi RM100,000. Ini mungkin ada yang salah kerana ada wartawan tulis ‘mencecah’ dan ada yang tulis ‘jangkaan’ RM50,000.
“Tetapi malangnya kita cuma dapat kutip kira-kira RM10,000. Tidak timbul soal dana tersebut disalah gunakan oleh mana-mana pihak kerana penyumbang telah memasukkan wang tersebut secara terus ke akaun KFA dan bukannya akaun milik mana-mana individu,” katanya.
Mengulas lanjut katanya, kenyataan dibuat bekas Presiden KFA, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir dalam Mesyuarat Kongres KFA ke-44 yang menyatakan wang sebanyak RM50,000 tersebut telah habis digunakan bagi menampung kos guaman juga merupakan satu kesilapan.
“Di situ mungkin ada salah faham atau kesilapan juga. Presiden selalu tak ambil tahu, macam itu jugalah Presiden KFA yang sekarang ini pun.
“Mungkin beliau (Mukhriz) dengar, dan kemudian nyatakan begitu. Kesilapannya begitu saja,” katanya dalam sidang akhbar selepas selesai Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini semalam.
Menjawab dakwaan Presiden KFA, Muhammad Sanusi Md. Nor mengenai penipuan penyata gaji oleh pengurusan lama, Mohd. Asmirul berkata beliau tidak tahu menahu mengenai perkara itu.
“Saya fikir perkara ini boleh dirujuk kepada banyak individu yang dari dulu hingga kini, masih lagi berkhidmat dengan KFA. Sejak dari dulu, yang menguruskan penyata gaji ini masih lagi akauntan dan kerani yang sama,” katanya.
Muhammad Sanusi semalam mendakwa penyata gaji disediakan pengurusan sebelum ini untuk rujukan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) adalah berbeza berbanding penyata gaji disediakan untuk rujukan pemain.
Ditanya mengenai isu penajaan melibatkan paparan jenama penaja pada jersi Kedah yang hangat dibahaskan di sidang DUN semalam, Mohd. Asmirul berkata, perkara itu wajar dirujuk kepada bekas ahli jawatankuasa penaja kelab tersebut sebelum ini kerana beliau tidak memiliki maklumat tepat mengenainya.