LISBON: N’Golo Kante menjaringkan gol keduanya di pentas antarabangsa untuk membantu juara dunia, Perancis menewaskan juara Eropah, Portugal 1-0 bagi mengesahkan tiket ke pusingan akhir Liga Negara-Negara pagi tadi.
Pemain tengah Chelsea, Kante pantas menyambar bola ditepis penjaga gol ke gawang pada minit ke-54 seterusnya membawa Perancis ke tangga teratas Kumpulan 3 menjelang perlawanan terakhir kumpulan minggu depan.
Perancis mendahului Portugal dengan tiga mata sebelum berdepan Sweden di Paris, Rabu ini, namun sudah mengesahkan tiket berdasarkan rekod pertemuan yang memihak mereka.
Skuad kendalian Didier Deschamps menjadi pasukan pertama layak ke pusingan akhir yang akan berlangsung Oktober tahun depan.
Portugal menang kejuaraan sulung di laman sendiri pada 2019.
Dengan kemenangan buat mana-mana negara sudah cukup bagi menjamin kedudukan teratas, Deschamps melakukan dua perubahan kepada pasukan yang seri 0-0 berdepan Portugal di Stade de France bulan lalu.
Kingsley Coman menggantikan Kylian Mbappe yang cedera dan Anthony Martial dipilih mengatasi Olivier Giroud yang juga penjaring kedua terbanyak sepanjang zaman Perancis. – AFP