WEST BROMWICH: Jaringan Harry Kane dua minit sebelum tamat perlawanan membawa Tottenham ke puncak Liga Perdana Inggeris selepas menumpaskan West Brom 1-0 sebentar tadi.
Skuad kendalian Jose Mourinho menyingkirkan Southampton dari kedudukan pendahulu hasil gol dramatik Kane di Stadium The Hawthorns pada minit ke-88.
Ini adalah jaringan ke-150 penyerang tersebut dalam Liga Perdana dan ia hadir tepat pada masanya selepas Tottenham bergelut untuk memecahkan benteng kebal West Brom.
Selepas menjaringkan 200 gol buat Tottenham dalam semua kejohanan ketika mengalahkan Ludogorets dalam Liga Juara-Juara, awal pagi Jumaat lalu, Kane kini meledak 13 gol musim ini.
Tottenham berkelebihan satu mata di puncak liga namun mereka boleh diatasi jika Leicester City menumpaskan Wolverhampton dalam perlawanan yang sedang berlangsung atau jika Liverpool mengatasi Manchester City pukul 12.30 pagi esok.