LONDON: Pele mengetuai bintang dunia yang memberi penghormatan terakhir buat legenda bola sepak Argentina, Diego Maradona dengan berkata ‘satu hari nanti mereka akan bermain bola sepak bersama di atas sana.’
Maradona meninggal dunia pada usia 60 tahun di kediamannya di Buenos Aires malam tadi akibat serangan jantung.
Kejayaan terbesar Maradona adalah membantu Argentina menjulang Piala Dunia 1986, malah dia bintang paling disayangi di peringkat kelab bersama Boca Juniors dan Napoli di Itali.
Biarpun dikenal dikenali sebagai pemain dengan kemahiran hebat, namun dalam masa sama dia terkenal kerana karenah di dalam dan luar padang.
Insiden ‘Tangan Tuhan’ merujuk kepada jaringannya yang ditolak dengan tangan ketika membantu Argentina menyingkirkan England pada suku akhir Piala Dunia 1986 antara yang tidak akan dilupakan peminat bola sepak.
Maradona juga bergelut dengan ketagihan dadah, terutama kokain selain masalah berat badan, berbeza dengan imej Pele yang membantu Brazil menjulang tiga Piala Dunia.
“Berita sedih hari ini. Saya kehilangan rakan baik, dan dunia kehilangan legenda.
“Banyak yang mahu diperkatakan tapi buat masa ini semoga Tuhan memberikan keluarganya kekuatan.
“Suatu hari nanti, saya harap akan dapat bermain bola sepak bersama di atas sana,” kata Pele dalam Instagram, bersama gambar Maradona merangkul trofi Piala Dunia 1986.
“Ia hari yang sangat menyedihkan buat semua rakyat Argentina dan bola sepak.
“Dia meninggalkan kita tetapi dia tidak ‘pergi’ kerana dia abadi,” tulis bintang penyerang Argentina, kata Lionel Messi dalam media sosial dengan diiringi gambarnya bersama Maradona. – AFP