MILAN: Juventus sekali lagi terbukti terlalu bergantung kepada Cristiano Ronaldo apabila sekadar seri 1-1 di Benevento tanpa kehadiran penyerang berbisanya itu.
Keputusan seri kali kelima dalam sembilan perlawanan Seria A menyaksikan skuad bimbingan Andrea Pirlo menduduki tangga kelima, tiga mata di belakang pendahulu, AC Milan.
Bintang Portugal itu tidak diturunkan selepas meledak gol ketika Juventus menang 2-1 ke atas Ferencvaros, Selasa lalu, sekali gus mengesahkan tempat ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara.
“Setiap pasukan amat memerlukan Ronaldo, malah di Real Madrid dia menjaringkan banyak gol.
“Dia pemain penting dan sudah menjadi kebiasaan membantu pasukannya melakar kemenangan. Tapi meskipun tanpa Ronaldo, kami perlu beraksi dengan baik untuk menang,” kata Pirlo.
Alvaro Morata dan Paulo Dybala digandingkan di jentera serangan, dan Pirlo berkata, Ronaldo tidak diturunkan kerana kepenatan.
“Ronaldo berdepan sedikit masalah dan dia mahu beraksi dalam semua aksi Liga Juara-Juara.
“Dia sudah beraksi banyak kali bersama skuad kebangsaan. Adalah sesuatu yang normal untuknya berasa penat dan mahu berehat,” kata Pirlo. – AFP