KOTA BHARU: Kelantan FC merombak seluruh barisan kejurulatihan pasukan musim depan bagi menyuntik DNA baharu The Red Warriors (TRW).
Kontrak Ketua Jurulatih TRW, Yusri Che Lah bersama tiga pembantunya, Tengku Hazman Raja Hassan, Azli Mahmood dan Ismail Chawalit Abu Bakar tidak akan disambung.
Pemilik Kelantan FC Norizam Tukiman berkata, beliau menerima hampir 20 permohonan dari jurulatih tempatan dan luar negara bagi membawa pasukan menghadapi Liga Malaysia (Liga M) 2021.
Norizam berkata, walaupun perubahan itu nampak drastik namun Kelantan FC perlu berani jika mahu memburu salah satu slot ke Liga Super dan mendakap kejuaraan musim hadapan.
“DNA baharu ini sangat penting, kerana saya mahu membentuk pasukan menggunakan acuan sendiri yang mempunyai mentaliti semangat waja untuk memburu kejuaraan.
“Sebagai langkah awal, saya akan mencari barisan kejurulatihan yang terbaik untuk memastikan DNA baharu Kelantan FC berjaya dibentuk nanti,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Norizam atau Zahmsaham memberitahu, setakat ini Kelantan FC sudah menerima permohonan jurulatih dari Sepanyol, Hungary, Jerman dan beberapa lagi negara untuk menggalas tanggungjawab sebagai pengendali utama pasukan.
Katanya, selain itu Kelantan FC turut menerima permohonan beberapa jurulatih tempatan bagi jawatan itu.
“Apa yang penting saya mahu jurulatih itu ada pengalaman dan dapat bekerjasama dengan pemain dan pengurusan untuk membentuk sebuah pasukan mantap mengikut DNA Kelantan FC.
“Bukan itu sahaja, saya juga mahu jurulatih yang mampu menerapkan mentaliti menjaringkan gol dan meraih kemenangan. Mentaliti bertahan turut diperlukan supaya Kelantan FC tidak mudah dibolosi oleh pihak lawan,” ujarnya.
Norizam berkata, bola sepak hari ini lebih banyak bercakap soal kepantasan, taktikal, kebijaksanaan untuk menjaringkan gol bagi meraih kemenangan dan bijak memerangkap pasukan lawan.