LIVERPOOL: Jurgen Klopp enggan mengambil kredit kerana melakukan dua pertukaran yang membawa kepada kemenangan 2-1 Liverpool ke atas West Ham dalam aksi Liga Perdana Inggeris pagi tadi.
Selepas Reds terikat 1-1 ketika permainan berbaki 15 minit , Klopp membawa masuk Xherdan Shaqiri dan Diogo Jota.
Kombinasi tersebut memastikan kemenangan mereka, malah Jota meledak gol keempat bersama Reds sejak tiba dari Wolverhampton dengan harga 41 juta pound (RM220.42 juta), September lalu.
Ia juga jaringan ketiga penyerang Portugal itu minggu ini selepas meledak gol ke atas Sheffield United dan FC Midtjylland.
“Ia keputusan yang mudah untuk dilakukan membawa masuk Diogo dan Shaq kerana mereka telah berlatih dengan hebat dan berada dalam keadaan bagus.
“Ya, Diogo berada pada prestasi terbaiknya ketika ini, seorang pemain yang bagus dan kami amat gembira dapat membawanya masuk dalam pasukan,” kata Klopp.
Dalam aksi di Anfield, West Ham terlebih dulu mengejutkan Liverpool dengan meledak gol pembukaan menerusi Pablo Fornals seawal minit ke-10.
Reds menyamakan kedudukan apabila Mohamed Salah dikasari Arthur Masuaku pada minit ke-42, dan penyerang Mesir itu menyempurnakan sepakan penalti untuk gol kelapannya musim ini.
Jota yang jaringannya dibatalkan pengadil ketika permainan berbaki 10 minit memastikan kemenangan Liverpool lima minit kemudian selepas mendapat hantaran Shaqiri.
Kemenangan membolehkan Liverpool merampas kedudukan pendahulu liga dengan 16 mata daripada tujuh perlawanan. – AGENSI