KUALA LUMPUR: Johor Darul Ta’zim (JDT) terpaksa melupakan saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) musim ini selepas tidak mendapat kebenaran untuk ‘terbang’ ke Doha, Qatar.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang akhbar sebentar tadi berkata, Harimau Selatan tidak dibenarkan ke luar negara kerana Malaysia telah menutup pintu keluar ekoran penularan wabak Covid-19.
Katanya, polisi tersebut bukan sahaja terpakai kepada JDT, malah semua rakyat Malaysia, termasuk menteri.
“Polisi kita sama. Pintu sempadan ditutup daripada warga asing dan rakyat kita juga tidak dibenarkan keluar negara.
“SOP (prosedur operasi standard) di sana kita tidak tahu bagaimana. Dalam kes ini, JDT tidak dibenarkan (keluar),” katanya.
Juara Liga Super tujuh musim berturut-turut itu sepatutnya beraksi dalam saingan ACL bagi zon timur yang diadakan secara berpusat di Doha dari 18 November hingga 13 Disember.
Menghuni tangga kedua Kumpulan G, JDT masih mempunyai baki empat perlawanan iaitu berdepan Guangzhou Evergrande dari China pada 19 November, Suwon Samsung Bluewings (Korea Selatan) 25 November, Vissel Kobe (Jepun) 1 Disember dan kembali menghadapi Guangzhou Evergrande 4 Disember.
JDT sudah mengharungi dua perlawanan dengan dibelasah Vissel Kobe 5-1 di Stadium Misaki Park, Kobe pada 12 Februari lalu namun bangkit menewaskan Suwon Samsung Bluewings 2-1 di Iskandar Puteri, 3 Mac lalu.