KUALA LUMPUR: Biarpun kecewa tidak dibenarkan ‘terbang’ ke Doha, Qatar untuk menyertai Liga Juara-Juara (ACL) minggu depan, namun Johor Darul Ta’zim (JDT) akur dan mengormati keputusan yang dibuat Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards berkata, beliau memahami keputusan itu terpaksa diambil disebabkan peningkatan kes pandemik Covid-19.
“Walaupun kami sangat kecewa tidak dapat mengambil bahagian dalam kejohanan tertinggi kelab peringkat Asia dan juga Piala Malaysia, kami menghormati keputusan Kerajaan Malaysia dan memahami tindakan atas faktor keselamatan ini terpaksa diambil disebabkan oleh peningkatan kes pandemik Covid-19.
“Keselamatan setiap orang, termasuk skuad JDT yang bakal ke Doha adalah satu keutamaan. Kami berdoa dan berharap agar dunia dapat mengatasi pandemik ini sebelum bermulanya musim 2021,” kata Edwards.
Juara Liga Super tujuh musim berturut-turut itu sepatutnya beraksi dalam saingan ACL bagi zon timur yang diadakan secara berpusat di Doha dari 18 November hingga 13 Disember.
Menghuni tangga kedua Kumpulan G, JDT masih mempunyai baki empat perlawanan iaitu berdepan Guangzhou Evergrande dari China pada 19 November, Suwon Samsung Bluewings (Korea Selatan) 25 November, Vissel Kobe (Jepun) 1 Disember dan kembali menghadapi Guangzhou Evergrande 4 Disember.
JDT sudah mengharungi dua perlawanan dengan dibelasah Vissel Kobe 5-1 di Stadium Misaki Park, Kobe pada 12 Februari lalu namun bangkit menewaskan Suwon Samsung Bluewings 2-1 di Iskandar Puteri, 3 Mac lalu.