KUALA LUMPUR: Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan esok wajar memasukkan pembangunan industri sukan elektronik (e-Sukan) dalam senarai agar ia dapat dimanfaatkan untuk menganjurkan kejohanan.
Presiden Persatuan Sukan Elektronik Kuala Lumpur (ESKL), Hisham Darus berkata, e-Sukan terbukti platform paling berkesan dalam membantu masyarakat mematuhi perintah kerajaan berhubung pandemik Covid-19 menerusi sesi webinar dan kejohanan pelbagai peringkat.
Katanya, penekanan dalam pendidikan mengenai e-Sukan secara sihat dan berhemah masih berada di tahap sederhana, terutama buat penggiat sukan ini.
“Bagi sudut pembangunan infrastruktur dan akar umbi, Malaysia dilihat berada pada posisi terkebelakang jika dibandingkan dengan negara serantau yang lain.
“Saya yakin jika peruntukan pembangunan ini dapat disediakan, kerjasama kerajaan dengan persatuan dan komuniti pasti dapat menjadikan Malaysia negara yang mampu melahirkan lebih ramai atlet profesional serta bertaraf antarabangsa,” katanya dalam kenyataan akhbar semalam.
Mengulas lanjut, Hisham berkata, ekosistem e-Sukan juga merangkumi pelbagai cabang yang turut menyumbang kepada perkembangan ekonomi negara.