‘Jangan kurang bawah 100 peratus’ - Utusan Malaysia

‘Jangan kurang bawah 100 peratus’

PEMAIN Melaka United menjalani latihan menjelang aksi Piala Malaysia menentang Selangor di Stadium Hang Jebat, Melaka esok. - UTUSAN/ RASUL AZLI SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Peluang Melaka United bermain di laman sendiri walaupun sebagai pasukan pelawat tidak seharusnya dipersiakan dalam perlawanan pusingan pertama Piala Malaysia berdepan Selangor di Stadium Hang Jebat esok.

Menyedari akan ada perubahan taktikal susulan pertukaran jurulatih pasukan lawan, pengendali skuad Sang Kancil, Zainal Abidin Hassan mahu anak-anak buahnya memberikan persembahan lebih 100 peratus ketika bertemu Gergasi Merah.

Kata Zainal, permainan yang baik sahaja tidak mencukupi sekiranya para pemain tidak memberikan aksi yang melebihi angka tersebut kelak.

Malah, bekas ‘senjata’ Selangor itu percaya pemainnya mempunyai masa yang cukup untuk memberi tentangan sengit dalam perlawanan itu selain kecergasan pemain yang kini berada pada tahap terbaik.

“Saya tak menafikan kita bertarung dengan pasukan gergasi yang sudah menjuarai 33 kali Piala Malaysia, jika diimbas kembali dalam Liga Super, pemain mempamerkan mutu terbaik tetapi dengan jurulatih baru Selangor kita tahu taktikal akan berlainan.

“Jadi, sebab itu kita telah mempersiapkan pasukan secara rapi kerana ini juga adalah perlawanan kalah mati dan hanya keputusan menang yang akan membawa pasukan ke pusingan seterusnya,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan semalam.

Pertemuan terakhir kedua-dua pasukan itu dalam Liga Super pada 11 September lalu menyaksikan Melaka United dan Selangor mencatatkan keputusan seri 1-1, sekali gus membuka peluang sama rata meskipun di atas kertas, Gergasi Merah dianggap mempunyai kelebihan.

Ujar Zainal lagi, hanya mutu permainan dan disiplin perlu dipamerkan kesebelasan utamanya pada malam itu sekiranya mereka berhasrat untuk melangkah ke pusingan seterusnya.

“Bagi saya sesiapa yang menyarung jersi Selangor akan ada kelebihan kerana bermain dengan pasukan gergasi tetapi saya beritahu pemain (Melaka United) bahawa mereka kena berikan persembahan yang baik untuk memenangi perlawanan itu,” katanya.

Ketika bergelar pemain, Zainal pernah membantu Selangor memenangi empat kejuaraan Piala Malaysia iaitu pada 1981, 1982, 1986 dan 1997 serta pernah membawa Pahang menjulang trofi berprestij itu pada 2014 bersama Dollah Salleh.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya