Hatrik Dos Santos bawa Perak ke suku akhir - Utusan Malaysia

Hatrik Dos Santos bawa Perak ke suku akhir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Perak melangkah ke suku akhir Piala Malaysia dengan penuh bergaya apabila menyingkir Kelantan 4-0 dalam perlawanan di Stadium Perak sebentar tadi.

Dalam perlawanan antara dua pasukan yang berbeza kelas itu, tuan rumah menguasai perlawanan dari sepak mula.

Walaupun pelawat cuba bangkit tetapi jelas tidak punyai kemampuan diperlukan untuk menandingi juara edisi 2018 itu.

Perlawanan malam ini jelas milik Leandro Dos Santos yang menyumbang hatrik untuk membawa Perak ke suku akhir pertandingan piala berprestij itu.

Satu lagi gol disumbang Raianderson Da Costa Morais atau Careca pada minit-minit akhir perlawanan.

Pasukan pelawat yang tampil dengan tekad menyerang habis-habisan gagal melaksanakan percaturan ketua jurulatih, Nazrulerwan Makmor.

Sebaliknya ketika perlawanan baru berlangsung enam minit, Perak sudah pun membuka jaringan melalui Leandro Dos Santos.

Pemain itu menanduk masuk bola dari sepakan sudut pertama perlawanan oleh Mohammad Firdaus Sayadi untuk meletak Bos Gaurus di depan.

Perak sepatut melebarkan jurang kedudukan tetapi Muhammad Shahrel Fikri Md. Fauzi yang mempunyai tugas mudah menjaring gol gagal menyudahkan bola silangan rakan pada minit ke-14.

Bagaimanapun tindakan bijak Muhammad Shahril Fikri membuka ruang buat Leandro mudah menolak bola melepasi jangkauan penjaga gol Kelantan United, Muhamad Syazwan Yusoff untuk gol kedua peribadinya tujuh minit kemudian.

Dua minit saingan babak kedua bersambung, Leandro mengukuhkan kedudukan apabila menyambung hantaran Careca untuk kedudukan 3-0.

Selepas gol itu, Perak mengendurkan permainan tetapi pelawat gagal menggunakan keadaan untuk menggugat anak buah Mehmet Durakovic.

Careca kemudian melengkapkan kemenangan penuh bermakna buat Bos Gaurus apabila menjaringkan gol keempat Perak pada minit ke-90.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya