SEVILLE, Sepanyol: Bekas juara dunia, Jerman mengharungi hari ‘paling malang’ selepas dibelasah 6-0 oleh Sepanyol dalam saingan Liga Negara-Negara UEFA pagi tadi.
Ferran Torres meledak hatrik buat Sepanyol di Sevilla untuk memberikan kekalahan terburuk buat Jerman dalam tempoh 89 tahun, sekali gus meletakkan jurulatih, Joachim Loew dalam tekanan.
“Ini hari malang buat kami.
“Kami sudah tersasar daripada perancangan selepas ketinggalan 0-1, ia memang membimbangkan dan Sepanyol memanfaatkan peluang yang diperoleh.
“Tiada yang berfungsi dengan baik, sama ada pertahanan atau serangan.
“Kami memberi ruang yang luas, terdapat juga masalah komunikasi di antara pemain,” kata Loew.
Ini kekalahan terburuk Jerman sejak dibelasah 0-6 oleh Austria di Berlin pada 1931.
Keputusan itu menambahkan dua lagi kekalahan teruk Loew sebagai jurulatih Jerman apabila skuad kendaliannya tewas 0-3 kedua-duannya kepada Republik Czech pada 2007 dan Belanda pada 2018. – AFP