Gol Messi batal, Argentina gagal menang - Utusan Malaysia

Gol Messi batal, Argentina gagal menang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUENOS AIRES: Jaringan Lionel Messi dibatalkan dan Argentina dipaksa bangkit daripada ketinggalan ketika mengikat Paraguay 1-1 dalam aksi kelayakan Piala Dunia zon Amerika Selatan di La Bombonera sebentar tadi.

Angel Romero meletakkan Paraguay di depan menerusi sepakan penalti pada minit ke-21 selepas Lucas Martinez Quarta menjatuhkan Miguel Almiron dalam aksi tanpa penonton di stadium Boca Juniors.

Nicolas Gonzalez bagaimanapun menyamakan kedudukan 1-1, empat minit sebelum tamat babak pertama selepas menanduk bola hasil sepakan penjuru Giovani Lo Celso.

Argentina menjangkakan mereka mendahului pada minit ke-58 apabila Lo Celso mengumpan bola untuk disempurnakan Messi, namun gol tersebut dibatalkan pengadil dari Brazil selepas mendapati Gonzalez melakukan kekasaran di awal pergerakan.

Keputusan seri menamatkan permulaan sempurna Argentina dalam usaha layak ke pusingan akhir Piala Dunia 2022 di Qatar selepas skuad bimbingan Lionel Scaloni mengalahkan Ecuador dan Bolivia bulan lalu.

“Saya fikir pada babak pertama kami kurang selesa dan diberi tekanan berterusan tetapi kami berjaya mengatasi situasi sukar sebelum mula mencari ruang.

“Pasukan kami bermain lebih baik pada babak kedua. Kami juga berjaya mendapatkan gol, malangnya ia dibatalkan pengadil,” kata pertahanan Argentina, Nicolas Otamendi.

Kedua-dua pasukan masih mengekalkan rekod tanpa kalah selepas tiga perlawanan.

Argentina selepas ini akan menentang Peru di tempat lawan, Selasa depan manakala Paraguay menerima kunjungan pasukan tangga tercorot, Bolivia pada hari sama.

Bolivia kalah 2-3 kepada Ecuador di laman sendiri hari ini hasil sepakan penalti lewat permainan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya