Gol ihsan bawa Terengganu suku akhir - Utusan Malaysia

Gol ihsan bawa Terengganu suku akhir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Kesilapan pertahanan, Kim Bong Jin memaksa Petaling Jaya (PJ) City FC mengucapkan selamat tinggal kepada Piala Malaysia selepas tumpas 1-0 kepada Terengganu FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, sebentar tadi.

Pemain kelahiran Korea Selatan itu perlu menyalahkan diri sendiri apabila hantaran kurang cermatnya dalam kotak penalti singgah di kaki Sanjar Shaakhmedov yang dengan mudah menjaringkan gol tunggal perlawanan pada minit ke-36.

Terdahulu, sepak mula aksi pusingan pertama itu terpaksa dilewatkan setengah jam selepas pengadil, Amirul Izwan Yaacob tidak berpuas hati dengan pencahayaan lampu limpah dan garisan padang.

PJ City FC yang memulakan perlawanan bermula garang dengan percubaan penyerang, Washington Brandao pada minit ke-11 disusuli rembatan leret D. Kugan ditampan penjaga gol tuan rumah, Rahadiazli Rahalim pada minit ke-23.

Seminit kemudian TFC memberikan respon menerusi sepakan lencong ketua pasukan, Lee Tuck dari luar kotak penalti, namun ditepis keluar Kalamullah Alhafiz Mat Rowi untuk sepakan penjuru.

Kem tuan rumah hanya diceriakan Shaakhmedov pada minit ke-36 yang menghukum kesilapan Bong Jin sekali gus menjadikan kedudukan 1-0.

Terengganu FC memiliki beberapa peluang selepas itu melalui gerakan pemain sayap, Faris Ramli dan Dominique Da Sylva, malangnya Kalamullah lebih bijak mengawal pintu golnya daripada terus dibolosi.

Bersambung di babak kedua, tempo permainan semakin perlahan apabila PJ City FC yang cuba mengatur serangan dengan kemasukan penyerang, Safee Sali tetap gagal mengubah keadaan.

Terangganu FC pula hanya berupaya melancarkan serangan balas di penghujung aksi, malangnya dikecewakan ketumpulan jentera serangan dan kedudukan 1-0 kekal sehingga tamat.

Kemenangan itu bagaimanapun sudah memadai untuk TFC meneruskan kemaraan sekali gus membuat perhitungan dengan Perak yang menang bergaya ke atas Kelantan United dalam aksi berasingan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN