Gerrard bimbing Manchester United? - Utusan Malaysia

Gerrard bimbing Manchester United?

STEVEN GERRARD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Seorang penyokong Manchester United mencuri perhatian media Britain apabila mahu kelab itu melantik legenda Liverpool, Steven Gerrard menggantikan Ole Gunnar Solskjaer sebagai pengurus Red Devils.

Kekalahan 0-1 kepada Arsenal dalam aksi Liga Perdana Inggeris, Ahad lalu menaikkan kemarahan penyokong United terhadap Solsk­jaer dan meletakkan pasukan itu di tangga ke-15 liga.

Prestasi cemerlang Gerrard membawa Rangers menerajui Liga Scotland dengan rekod tanpa kalah dalam 13 perlawanan musim ini, memberi idea kepada penyokong Red Devils dia calon paling sesuai untuk menggantikan Solskjaer.

“Saya sanggup keluarkan semua duit di bank dan pergi kepada Steven Gerrard untuk menggantikan Ole,” kata peminat United yang dikenali sebagai Brett kepada talkSPORT.

Pengulas bola sepak terkenal, Darren Ambrose yang terkejut dengan cadangan itu kemudian membalas: “Apa? Bagaimana legenda Liverpool boleh membimbing Manchester United?.”

Brett kemudian membalas: “Kita bercakap soal duit. Lelaki itu (Gerrard) ada identiti dan tahu bagaimana hendak bermain. Dia boleh menaikkan motivasi pemain, ini tak masuk akal.”

Pengacara program, Alex Crook kemudian menyampuk: “ Ada dua isu penting dalam hal ini. Pertama, saya tidak fikir Steven Gerrard yang memiliki ‘darah Liver­pool’ akan menerima tugas itu.

“Kedua, adakah penyokong United mengalu-alukan kedatangannya di Old Trafford? Saya tidak nampak ia akan berlaku”.

Gerrard, 40, beraksi dalam 707 perlawanan sepanjang 17 tahun bersama Liverpool. Dia membantu Reds menjulang kejuaraan Eropah, Piala UEFA dan Piala FA dalam tempoh tersebut.

Sementara itu, Mauricio Pochettino antara yang disebut-sebut sebagai calon jurulatih United, setahun selepas dia dipecat oleh Tottenham.

Selepas membawa Spurs ke final Liga Juara-Juara dua musim lalu, jurulatih dari Argentina itu turut dikaitkan dengan kelab besar seperti Real Madrid, Juventus dan Paris Saint-Germain (PSG). – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya