MANCHESTER: Manchester City menerima tonik terbaik menjelang pertemuan dengan Liverpool dalam saingan Liga Perdana Inggeris, Ahad ini selepas membenam Olympiacos 3-0 pada aksi Liga Juara-Juara pagi tadi.
Lebih menggembirakan City, beberapa pemainnya kembali menyerlah selepas pulih daripada kecederaan, termasuk penyerang Brazil, Gabriel Jesus.
City kini menghampiri kelompok 16 terakhir Liga Juara-Juara selepas mengumpul sembilan mata maksimum dalam Kumpulan C.
Pengendali pasukan, Pep Guardiola memuji aksi baik Gabriel dan Ferran Torres, yang sekali lagi bakal menjadi sandaran apabila bertemu Reds.
Torres meledak gol keempatnya di pentas Eropah selepas membuka jaringan City seawal minit ke-12.
Gabriel yang dibawa masuk pada 15 minit terakhir hanya memerlukan 11 minit untuk meledak gol kedua pasukan.
Seorang lagi pemain gantian, Joao Cancelo melengkapkan kemenangan 3-0 menerusi gol minit ke-90.
“Kami bermain baik pada babak pertama, malangnya tidak dapat menamatkan perlawanan lebih awal dan sedikit bergelut untuk mendapatkan gol kedua.
“Akhirnya, gol menakjubkan daripada Gabriel tiba. Melihat dia kembali cergas adalah berita yang amat menggembirakan,” kata Guardiola. – AFP