KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyifatkan Belanjawan 2021 yang dibuat adalah berdasarkan permintaan rakyat yang difokuskan kepada memulih ekosistem sukan pasca pandemik Covid-19.
Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, pelbagai peruntukan disediakan termasuk skim bantuan mudah khusus untuk operator fasiliti sukan.
“Antara yang disediakan termasuk peruntukan RM20 juta sebagai pinjaman mudah di bawah skim TEKUN Sukan bagi memastikan kelangsungan operator fasiliti sukan yang terkesan akibat Covid-19.
“Ini merupakan komitmen yang telah saya berikan untuk membantu pemain industri sukan dalam lawatan saya baru-baru ini,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Dalam sesi pembentangan Belanjawan 2021, Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan dana RM103 juta untuk membina, menaik taraf, dan menyelenggara kemudahan sukan di seluruh negara selain RM55 juta untuk program pembangunan sukan berprestasi tinggi termasuk RM15 juta buat e-Sukan.
Kerajaan turut menaikkan had pelepasan cukai pendapatan bagi gaya hidup daripada RM2,500 kepada RM3,000 khusus bagi perbelanjaan berkaitan sukan termasukan penyertaan pertandingan sukan.
“Secara keseluruhannya, Belanjawan 2021 ini dirangka dengan cukup berhemah selepas mengambil kira keresahan rakyat serta pendekatan besasar yang memberi impak tinggi.
“Saya yakin, Belanjawab 2021 ini telah memberikan satu kelegaan kepada segenap masyarakat di negara ini khususnya dalam mendepani cabaran penularan Covid-19,” kata Reezal Merican lagi.