MANCHESTER: Tidak penting siapa yang menjaringkan gol asalkan Manchester United menang.
Itu penjelasan Bruno Fernandes selepas dia melepaskan peluang meledak hatrik ketika membantu United membenam Istanbul Basaksehir 4-1 dalam aksi Liga Juara-Juara pagi tadi.
Fernandes sudah meledak dua gol dan United sedang mendahului 2-0 ketika mereka dihadiahkan sepakan penalti.
Fernandes tidak mengambil tendangan, sebaliknya memberi penghormatan kepada Marcus Rashford.
“Sudah tentu semua pemain mahu meledak hatrik tetapi selepas aksi Liga Perdana minggu lalu saya beritahu Marcus dia akan mengambil sepakan penalti pada perlawanan seterusnya.
“Lagipun, dia antara penjaring terbanyak Liga Juara-Juara, jadi penting buatnya meraih keyakinan.
“Tidak kisahlah siapa yang mengambil penalti asalkan kami menjaringkan gol dan menang,” kata Fernandes BT Sport.
United memerlukan sepakan penalti Fernandes untuk mengalahkan West Brom 1-0 dalam aksi Liga Perdana, Ahad lalu.
Dalam aksi di Old Trafford pagi tadi, bintang tengah Portugal itu membuka jaringan seawal minit ketujuh menerusi sepakan separuh voli dari luar kotak penalti.
Fernandes menambah jaringan kedua pasukannya pada minit ke-19, sebelum Rashford menjadikan kedudukan 3-0 di minit ke-39.
Pemain Basaksehir, Deniz Turuc merapatkan jurang menerusi sepakan percuma pada minit ke-75, namun Daniel James mengesahkan kemenangan 4-1 United menerusi gol waktu kecederaan.
Skuad bimbingan Ole Gunnar Solskjaer melunaskan dendam selepas dikejutkan 2-1 oleh Basaksehir di Istanbul awal bulan ini untuk mengungguli Kumpulan H. – AGENSI