LONDON: Timo Werner menyempurnakan dua sepakan penalti untuk membantu Chelsea menundukkan Rennes 3-0 dalam aksi Liga Juara-Juara pagi ini.
Pertahanan Rennes, Dalbert bertanggungjawab menghadiahkan kedua-dua penalti, malah dia turut dibuang padang selepas penalti kedua pada minit ke-40.
Berdepan 10 pemain lawan dalam sebahagian besar perlawanan membolehkan Blues mencipta banyak peluang.
Tammy Abraham akhirnya meledak jaringan ketiga pada minit ke-50.
Skuad bimbingan Frank Lampard kini mendahului Kumpulan E dengan tujuh mata daripada tiga perlawanan.
Malah, Chelsea juga tidak kalah dalam tujuh perlawanan (semua pertandingan). – AGENSI