Covid-19 tak bantutkan sukan - Utusan Malaysia

Covid-19 tak bantutkan sukan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Di sebalik fokus menangani Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara, sukan tetap diberi perhatian dalam Belanjawan 2021 apabila RM55 juta diperuntukkan bagi pembangunan sukan berprestasi tinggi merangkumi hoki, ragbi, badminton, basikal serta atlet wanita.

Peruntukan itu memastikan pembangunan sukan negara tidak terbantut, biarpun teruk diserang wabak berkenaan hingga banyak kejohanan dibatalkan, malah ada persatuan terpaksa memohon bantuan bagi meneruskan kelangsungan.

Bagi Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM), mereka sememangnya memerlukan suntikan dana bagi menjalankan aktiviti pada 2021.

“Kami kurang menerima dana daripada sektor korporat, jadi bantuan kerajaan sangat membantu pembangunan sukan ini,” kata Setiausaha Agung Amrul Hazarin Hamidon.

Bagi industri e-Sukan, biarpun peruntukan RM15 juta yang diterima kali ini lebih kecil berbanding RM20 juta pada Belanjawan 2020, namun dalam keadaan sukar ia amat membantu.

“Kita faham Covid-19 memberi kesukaran kepada semua orang, jadi kami amat berterima kasih atas sokongan kerajaan,” kata Timbalan Presiden Persatuan E-Sukan Malaysia, Afiq Fadhli Narawi.

Bagi Persatuan Badminton Malaysia (BAM), program akar umbi kini boleh diteruskan dan misi melahirkan lebih ramai jaguh dunia tidak akan terjejas.

“BAM boleh meneruskan agenda dirancang, malah lebih bersemangat untuk melahirkan ramai jaguh dunia,” kata Presidennya, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria.

Naib Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh pula berkata, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan Kementerian Belia dan Sukan bagi membincangkan lebih lanjut mengenai perincian peruntukan tersebut.

“Kami ingin tahu adakah ia untuk atlet kita ke Sukan Olimpik Tokyo 2021 sebab peruntukan temasya itu sudah ada.

“Apa pun saya ucap tahniah dan jutaan terima kasih kepada kerajaan atas Belanjawan 2021 ini,” katanya.

Sementara itu, Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) mahu menggunakan peruntukan yang diberi bagi membangunkan program akar umbi, malah memastikan Malaysia dapat kembali ke pentas Sukan Olimpik
satu hari nanti.

“Kerajaan senada dengan persatuan mahukan pembangunan sukan diteruskan supaya tidak ketinggalan,” kata Timbalan Presidennya, Prof. Datuk Dr. S. Shamala.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya