LONDON: Jaringan Chris Wood membantu Burnley mencatat kemenangan pertama dalam lapan perlawanan Liga Perdana Inggeris musim ini selepas menewaskan Crystal Palace 1-0 pagi tadi.
Dalam satu lagi perlawanan, Southampton terlepas peluang untuk melonjak ke tangga ketiga liga selepas seri 1-1 di Wolverhampton.
Sebelum turun ke padang, Burnley gagal memenangi tujuh perlawanan pertama liga musim ini, namun Wood mengurangkan tekanan pengendali kelab, Sean Dyche menerusi jaringan pada minit kelapan.
Kemenangan itu mengeluarkan
Burnley dari zon penyingkiran iaitu tiga tercorot liga.
“Kami mencipta dua atau tiga percubaan terbaik, dan berjaya memanfaatkan satu daripadanya.
“Situasi agak cemas kerana kami belum mencatat sebarang kemenangan sebelum ini, jadi ini keputusan yang amat penting,” kata Dyche.
Sementara di Stadium Molineux, Southampton berada pada landasan terbaik untuk mencatat kemenangan keempat berturut-turut selepas Theo Walcott meletakkan mereka di depan pada minit ke-58.
Begitupun Pedro Neto yang masuk sebagai pemain gantian menyamakan kedudukan buat Wolves di minit ke-75.
Keputusan seri meletakkan Southampton di tangga kelima liga dengan 17 mata dari sembilan perlawanan. – AFP