WARRI, Nigeria: Bekas bintang tengah Nigeria, Christian Obodo yang menghabiskan lebih sedekad beraksi di Itali, termasuk bersama Fiorentina dan Udinese telah diculik, umum Polis hari ini.
Pemain berusia 36 tahun itu ditahan lelaki bersenjata yang tidak dikenali di selatan bandar Warri semalam, kata jurucakap polis, Onome Onowakpoyeya kepada AFP.
“Pihak perisikan polis sedang berusaha menyelamatkannya,” kata Onowakpoyeya, yang bagaimanapun mendedahkan, setakat ini penculik belum menghubungi sesiapa.
Penculikan untuk tebusan oleh kumpulan penjenayah adalah perkara biasa di negara paling ramai penduduk di Afrika itu, khususnya di wilayah Delta yang kaya dengan minyak.
Obodo diculik di kawasan yang sama pada tahun 2012, dan diselamatkan sehari kemudian dalam serbuan polis.
Ketika itu, penculik menuntut wang tebusan sekitar 149,000 euro (RM725,300).
Seorang rakan pemain tengah itu, yang juga tonggak pasukan Nigeria antara 2003 dan 2008, memberitahu AFP, dalam kejadian terbaharu Obodo bersama teman wanitanya berada di dalam kereta ketika dia diculik.
“Mereka berhenti untuk membeli pisang di tepi jalan ketika orang bersenjata menahan mereka dan memaksanya keluar dari kereta untuk pergi ke destinasi yang tidak diketahui,” kata lelaki itu yang hanya mahu dikenali sebagai Ketua Big Sam.
Obodo berusia 17 tahun ketika dia pindah ke Itali pada 2001 untuk bermain dengan Perugia. Dia kemudian menyertai Fiorentina, Udinese, Torino dan Lecce sebelum berpindah ke Dynamo Minsk pada 2014. – AFP