LONDON: Masuk sebagai pemain gantian, Gareth Bale meledak gol pertamanya sejak kembali ke pangkuan Tottenham untuk membantu pasukan itu menang 2-1 ke atas Brighton pagi tadi.
Bale menanduk gol kemenangan pada minit ke-73, sekali gus melonjakkan Spurs ke tangga kedua Liga Perdana Inggeris.
Isu kecederaan sebelum ini menghalang Bale berada dalam kesebelasan utama sejak pulang ke London secara pinjaman dari Real Madrid September lalu.
Begitupun, bintang Wales itu yang meninggalkan Spurs untuk menyertai Real pada 2013 kembali mempamer ketajaman dengan menanduk masuk hantaran lintang Sergio Reguilon.
Ketua pasukan, Harry Kane meletakkan Spurs di depan pada minit ke-13, namun Tariq Lamptey menyamakan kedudukan buat Brighton, 11 minit selepas babak kedua bersambung.
Tottenham kini hanya dua mata di belakang pendahulu liga, Liverpool. – AFP