KOTA BHARU : Taktik menyerang dijangka menjadi ‘taruhan’ pengendali Kelab Bola Sepak Kelantan United (KUFC), Nazrulerwan Makmor dalam untuk menewaskan Perak pada aksi Piala Malaysia di Stadium Ipoh malam esok.
Nazrulerwan atau lebih dikenali sebagai Badut bagaimanapun turut meningatkan barisan pemain KUFC supaya tidak melakukan kesilapan ‘kecil’ yang boleh menghukum pasukan itu nanti.
Menurutnya, dia lebih ‘selesa’ barisan pemainnya beraksi sebagai satu unit sepanjang perlawanan tersebut termasuklah dari aspek menyerang dan bertahan.
“Bertemu dengan pasukan yang lengkap serba serbi di semua posisi bukanlah tugas mudah buat kami.
“Perak pernah menjadi juara musim 2018 lalu dan pasukan itu pastinya turun dengan misi untuk menang. Begitu juga dengan kami,” katanya.
Badut memberitahu, dia mahu barisan pemain KUFC kekal fokus sepanjang 90 minit perlawanan dan keluar sebagai pemenang dalam aksi itu nanti.
Katanya, status sebagai pasukan ‘underdog’ memberikan semangat lebih kepada KUFC untuk melakar kejutan.
“Sungguhpun begitu, kami perlu waspada dengan kekuatan pasukan lawan.
“Saya kerap kali mengingatkan kepada semua pemain pada sesi latihan, kita ke Perak bukan untuk bermain bertahan.
“Jika bertahan sekalipun, kita akan bertahan sebagai satu pasukan dan menyerang juga sebagai satu pasukan,” ujarnya.