MADRID: Atletico Madrid menerima suntikan semangat untuk memburu kejuaraan La Liga musim ini selepas menumpaskan Barcelona buat kali pertama dalam tempoh 10 tahun dengan melakar kemenangan 1-0 pagi tadi.
Kesilapan Gerard Pique dan Marc-Andre ter Stegen yang membiarkan pintu gol tidak dijaga membolehkan Yannick Carrasco meledak gol tunggal perlawanan, sekali gus memberikan permulaan liga terburuk buat Barcelona dalam tempoh 29 tahun.
Selepas mengharungi lapan perlawanan, skuad bimbingan Ronald Koeman itu menduduki tangga ke-10 dengan 11 mata, manakala Atletico melonjak ke tempat kedua selepas berkongsi 20 mata bersama pendahulu, Real Sociedad.
“Seperti mana-mana jurulatih, saya bertanggungjawab.
“Kami sedar, prestasi perlu dipertingkatkan dan saya akan tetap memberi kepercayaan kepada pemain yang ada,” kata Koeman sejurus tamat perlawanan.
Prestasi tidak menentu juara bertahan, Real Madrid yang diikat 1-1 oleh Villarreal memberi keyakinan kepada Atletico untuk memenangi kejuaraan La Liga pertama selepas enam tahun.
Diego Simeone, jurulatih yang membawa Atletico memenangi kejuaraan liga musim 2013–2014 percaya pasukannya boleh menjadi pencabar gelaran sekali lagi.
Dia berjaya membawa mereka melakar rekod 24 perlawanan liga tanpa kalah.
“Kami berjaya mengalahkan Barcelona hari ini tetapi ia tidak merubah apa-apa kerana liga masih panjang.
“Apa pun kami bekerja dengan baik dan saya gembira dengan pasukan ini,” kata Simeone. – AFP