MANCHESTER: Ole Gunnar Solskjaer kecewa Manchester United ‘tidak pernah bangkit’ selepas mengalami satu lagi kekalahan Liga Perdana Inggeris di tempat sendiri, kali ini tumpas 0-1 kepada Arsenal pagi tadi.
Sepakan penalti Pierre-Emerick Aubameyang pada minit ke-69 membantu Arsenal melakar kemenangan pertama di Old Trafford sejak 2006.
Dalam perlawanan ke-100 di bawah bimbingan Solskjaer, United kembali berpijak di bumi nyata selepas membelasah RB Leipzig 5-0 dalam aksi Liga Juara-Juara Rabu lalu.
Enam perlawanan liga berturut-turut tanpa kemenangan di laman sendiri meletakkan Red Devils kini di tangga ke-15.
“Kami tidak wujud pada babak pertama, mereka lebih baik daripada kami. Kami tiada dalam persaingan.
“Prestasi kami di laman sendiri dan tempat lawan tidak ada beza tanpa penonton di satadium…100 peratus,” kata Solskjaer.
Sementara itu, jurulatih Arsenal, Mikel Arteta gembira dengan disiplin pemainnya yang bangkit dari tiga kekalahan dalam empat perlawanan terakhir liga untuk kembali merapatkan jurang kepada satu mata di belakang kelompok empat teratas.
“Saya tidak mahu beritahu pemain kami tidak pernah menang di sini sejak 14 tahun lalu tetapi pasukan yang anda lihat malam ini akan menjadi identiti kami.
“Saya bangga dengan karakter kami tampilkan di Old Trafford dan gembira dengan kemenangan ini,” kata Arteta. – AFP