LONDON: Keyakinan Manchester United yang kini di tahap tertinggi selepas membelasah RB Leipzig 5-0 dalam Liga Juara-Juara, Khamis lalu akan diuji apabila menerima kunjungan Arsenal pada saingan Liga Perdana Inggeris esok.
Kemenangan besar atas Leipzig amat mengejutkan kerana lawan mereka mara ke separuh akhir kejohanan kelab elit Eropah itu musim lalu.
United kini belum kalah dalam empat perlawanan terakhir (semua kejohanan) selepas menang 4-1 ke atas Newcastle pada 18 Oktober, menundukkan Paris Saint-Germain 2-1 (21 Oktober), seri 0-0 dengan Chelsea (25 Oktober) dan membelasah Leipzig.
Anak-anak buah Ole Gunnar Solskjaer pasti mahu meneruskan momentum positif apabila menerima kunjungan Arsenal di Old Trafford, dan melihat permainan United sejak kebelangan kini, Arsenal perlu berwaspada.
The Gunners tewas 0-1 kepada Leicester City di tempat sendiri dalam aksi terakhir liga, Isnin lalu, namun kembali meraih keyakinan selepas mengalahkan kelab Ireland, Dundalk 3-0 dalam Liga Europa kelmarin.
Arsenal bagaimanapun tidak pernah menang dalam aksi liga di Old Trafford sejak 14 tahun lalu, ‘badi’ yang cuba dipadam jurulatih mereka, Mikel Arteta.
“Sudah 14 tahun berlalu sejak kali terakhir Arsenal menang perlawanan Liga Perdana di United. Selepas kalah kepada Leicester minggu lalu, sekarang adalah waktu terbaik untuk kami bangkit.
“Saya tidak bimbang dengan prestasi kerana anda boleh lihat peningkatan pasukan ini, yang penting sekarang bagaimana kami dapat mengawal keadaan ketika dan mencari kemenangan,” kata Arteta.
TUMPUAN AKSI RED DEVILS – THE GUNNERS
PERTAHANAN
TURUN tanpa David Luiz yang cedera, Arsenal akan memanggil semula Gabrie dan Kieran Tierney yang direhatkan dalam Liga Europa. Turut mengukuhkan benteng Shkodran Mustafi.
Bagi United, prestasi gandingan Victor Lindelof dan Harry Maguire belum meyakinkan tetapi kedua-duanya sekali lagi menjadi pertaruhan untuk menjaga benteng.
Lindelof dan Maguire perlu bekerja lebih keras serta mengurangkan kesilapan jika tidak mahu dihukum jentera Arsenal yang diketuai Pierre-Emerick Aubameyang.
TENGAH
JIKA Granit Xhaka mampu membantu Thomas Partey mencipta kreativiti di bahagian tengah Arsenal, ia akan mengundang banyak masalah kepada Red Devils.
Partey memiliki kualiti hebat, malah lincah dan bijak cuma memerlukan sedikit masa untuk menyesuaikan diri dengan pasukan baharunya selepas dibeli dari Atletico Madrid pada hari terakhir jendela perpindahan.
Scott McTominay yang mempamer aksi cemerlang ketika berdepan Leipzig dijangka mengetuai bahagian tengah United bersama bintang Perancis, Paul Pogba.
Bruno Fernandes pula akan menggantikan Donny van de Beek, manakala Fred melengkapkan barisan United.
SERANGAN
EMERICK Aubame bakal mengetuai serangan tengah Arsenal dan pemain muda, Bukayo Saka diletakkan di sebelah kiri dengan misi mengatur serangan balas pantas.
United sekali lagi beraksi tanpa Anthony Martial yang menjalani penggantungan tiga perlawanan manakala Alex Telles diketepikan akibat positif Covid-19.
Solskjaer dijangka mengekalkan jentera serangan yang membenam Leipzig, di mana Mason Greenwood akan bergandingan dengan Marcus Rashford.