LONDON: Bintang Liverpool, Virgil van Dijk, berikrar akan kembali semula secepat mungkin dalam keadaan lebih baik dan kuat daripada sebelum ini.
Juara Liga Perdana Inggeris (EPL) itu mengesahkan bahawa pertahanan itu mengalami kecederaan ligamen lutut dan dijangka terlepas hampir keseluruhan musim ini.
Kecederaan Van Dijk memerlukan pembedahan, cedera selepas dicabar penjaga gol Everton, Jordan Pickford pada minit keenam ketika pasukannya seri 2-2 dalam saingan tetangga Merseyside, Sabtu lalu.
“Saya kini akan memberi tumpuan sepenuhnya dalam proses pemulihan dan akan melakukan apa sahaja untuk kembali beraksi secepat mungkin.
“Walaupun sangat kecewa tetapi saya percaya dengan kesukaran ini dan tuhan akan menolong untuk saya kembali lebih baik, cergas dan kuat daripada sebelum ini.
“Dalam bola sepak yang merupakan sebahagian daripada hidup, saya percaya apa yang berlaku ada sebab tertentu.
“Perkara paling penting adalah cuba yang terbaik dan sentiasa berfikiran positif dalam apa sahaja situasi yang berlaku. Dengan sokongan isteri, anak, keluarga dan semua orang di Liverpool, saya bersedia berdepan cabaran ini.
“Saya berterima kasih kepada semua yang menghantar mesej memberi kata-kata semangat dan sokongan. Saya akan melakukan proses pemulihan setiap hari dan akan kembali,” kata Van Dijk menerusi ciapan Twitter miliknya.
Sementara itu, Reds tidak boleh menjamin berapa lama tempoh masa diperlukan oleh pertahanan itu untuk kembali beraksi bersama pasukan.
“Van Dijk diberi pemantauan lanjut terhadap kecederaan itu dan pembedahan perlu dilakukan. Tiada sebarang tempoh masa ditetapkan untuknya kembali pada tahap ini,” menurut kenyataan Liverpool.
Kapten Belanda itu juga berisiko tidak dapat bermain pada Euro 2020 Jun depan.
“Saya berharap kamu akan cepat sembuh kawan,” melalui ciapan Twitter penjaring Terbanyak Liverpool, Mohamed Salah yang ditujukan kepada rakan sepasukannya itu.
Ketika jendela perpindahan pemain pada musim panas baharu sahaja ditutup, Klopp perlu menunggu hingga Januari tahun depan untuk mendapatkan calon pilihan sesuai bagi memantapkan pertahanan tengah pasukan itu. – AGENSI