Tunggakan gaji RM9 juta langsai! - Utusan Malaysia

Tunggakan gaji RM9 juta langsai!

STUART RAMALINGAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Lebih RM9 juta membabitkan kes tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan melibatkan Kelantan, Pahang, Melaka United, Felda United, PDRM, Pulau Pinang dan Sabah berjaya diselesaikan.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam berkata, perkara tersebut dapat diselesaikan hasil daripada tindakan tegas dan pelaksanaan pelesenan kelab oleh badan induk itu.

“Setakat ini tinggal tujuh sahaja lagi kes aktif di FAM apabila menyelesaikannya menerusi penggunaan kuasa dalam pelesenan kelab dan penolakan mata seperti yang dilaksanakan sebelum ini.

“Cara sebegini dapat menyelesaikan dalam masa terdekat. Banyak kes dapat diselesaikan dengan menggunakan kuasa jawatankuasa, pelesenan dan SD (Statutory Declaration) untuk memberi kepentingan hutang ini dibayar.

“Ia telah terbukti dalam tiga keputusan yang dikeluarkan FAM tahun ini. Kami tidak mengambil ringan proses SD ini, di mana kami sudah pun membuat penolakan mata terhadap tiga pasukan (Melaka, Kelantan, PDRM),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar berhubung pelesenan dan penswastaan pasukan Liga Malaysia di Wisma FAM, kelmarin.

Mengulas lanjut, Stuart berkata, RM9 juta itu merangkumi 39 kes pada 2019 dan 26 kes tahun ini yang dilaporkan kepada FAM, dengan keputusan sudah pun dikeluarkan.

Tambahnya, daripada jumlah kes tersebut, sebanyak 58 kes diselesaikan melibatkan sejumlah RM8.129 juta di samping penyelesaian SD atau proaktif membabitkan 297 kes bernilai RM912,717.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN