IPOH: Kedah memastikan slot Piala AFC yang ditawarkan kepada naib juara Liga Super menjadi milik mereka selepas menang 3-2 ke atas Perak di Stadium Perak, Ipoh sebentar tadi.
Turun dengan misi sekurang-kurang mengutip satu mata, Renal Alves bagaimamapun meledak gol kemenangan Lang Merah pada minit ke-63.
Kekalahan menyaksikan Perak turun ke tangga keempat liga selepas dipintas Terengganu yang menang 2-1 di gelanggang sendiri.
Aksi menarik ditampilkan kedua-dua pasukan yang menyaksikan empat gol terhasil pada separuh masa pertama.
Pasukan Kedah membuka tirai jaringan melalui gerakan solo Kpah Sherman pada minit ke-28 .
Berselang tiga minit, Fazrul Daniel melebarkan kedudukan skuad Lang Merah apabila menyudah peluang yang dicipta Badrol Bakhtiar pada minit ke-31.
Walaupun Perak tampil tanpa kapten Shahrul Mohd. Saad yang digantung dan Guilherme De Paula yang mengalami kecederaan tampak tertekan tetapi anak buah Mehmet Durakovic bangkit melawan.
Kesungguhan tuan rumah berhasil apabila Leandro Dos Santos menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-42 selepas Firdaus Saiyadi dijatuhkan oleh Rizal Ghazali.
Leandro yang bertindak selaku kapten kemudian menanduk masuk gol penyamaan Bos Gaurus dalam masa kecederaan untuk menyemarak semangat juang rakan sepasukan.
Bersambung babak kedua menyaksikan kedua-dua pasukan menggandakan usaha untuk memburu kemenangan.
Seperti pada babak pertama asakan Kedah nyata berkesan dan mereka akhirnya berjaya menjaringkan gol melalui tandukan kencang Renal Alves pada minit ke-63.
Walaupun Perak berusaha memadam defisit, namun asakan pasukan tuan rumah gagal untuk mengubah keadaan.