AMSTERDAM: Jurgen Klopp memuji semangat juang Liverpool yang beraksi tanpa Virgil van Dijk, namun masih mampu menang 1-0 di Ajax dalam perlawanan Liga Juara-Juara pagi tadi.
Reds dijangka kehilangan Van Dijk sehingga tamat musim selepas pertahanan tengah itu mengalami kecederaan lutut yang serius ketika menentang Everton minggu lalu.
Ramai menjangkakan Liverpool bakal bergelut tanpa Van Dijk tetapi pemain tengah Brazil, Fabinho mempamer aksi mantap bersama Joe Gomez di bahagian pertahanan.
Ketika Liverpool tidak berada pada tahap terbaik, tuah menyebelahi mereka dan gol sendiri Nicolas Tagliafico selepas bola rembatan Sadio Mane terkena kakinya pada babak pertama memberi permulaan positif dalam saingan Kumpulan D.
Kemenangan tersebut menyuntik keyakinan juara 2019 itu yang mahu membuktikan tanpa Van Dijk mereka tetap bersemangat mempertahankan kejuaraan Liga Perdana dan mencabar gelaran Eropah.
“Ia bukan perlawanan yang sempurna tetapi pemain berjuang dengan hebat.
“Kami tidak merebut peluang sepatutnya dan Ajax tidak bernasib baik apabila percubaan mereka terkena tiang.
“Apabila anda mendahului 1-0, apa sahaja boleh berlaku tapi keseluruhannya saya gembira dengan permainan.
“Ia bukan bola sepak yang bersinar tetapi kami mahu tiga mata dan berjaya mendapatkannya,” kata Klopp. – AFP