LONDON: Pelaburan besar Chelsea musim ini gagal menepati jangkaan awal selepas skuad bimbingan Frank Lampard melepaskan gol dalam jumlah membimbangkan.
Blues membelanjakan 220 juta pound (RM1.18 bilion) bagi mendapatkan Timo Werner, Kai Havertz, Ben Chilwell, Hakim Ziyech dan Edouard Mendy, manakala pertahanan berpengalaman, Thiago Silva dibawah masuk dari Paris Saint-Germain (PSG) secara percuma.
Chelsea hanya menang dua daripada lima perlawanan pembukaan Liga Perdana Inggeris dan dua kali gagal mengekalkan kelebihan selepas mendahului, termasuk ketika seri 3-3 dengan Southampton kelmarin.
Dalam 43 saingan liga di bawah Lampard, mereka kini melepaskan 63 gol, malah tahun ini sahaja Chelsea sudah dibolosi sembilan kali dalam lima perlawanan.
Skuad mahal Chelsea akan diuji sekali lagi Rabu ini (pukul 3 pagi waktu Malaysia) apabila menentang juara Liga Europa, Sevilla dalam aksi Liga Juara-Juara di Stamford Bridge.
Sevilla antara pasukan yang konsisten, bukan sahaja dalam saingan La Liga, malah Eropah. Mereka juga sering menjual bakat terbaik kepada pasukan-pasukan utama.
Pasukan dari Andalusia itu memiliki rekod lebih baik dalam kejuaraan di Eropah berbanding Chelsea sejak tujuh musim lalu walaupun berbelanja kecil.
Mereka menang empat kali Liga Europa dalam tempoh berkenaan, malah pada Ogos kelab itu mengulangi kejayaan cemerlang apabila mengatasi Roma, Wolverhampton, Manchester United dan Inter Milan untuk merangkul kejuaraan itu.
Juara Eropah, Bayern juga memerlukan tambahan masa untuk mengetepikan skuad kendalian Julen Lopetegui pada final Piala Super UEFA bulan lalu.
“Sevilla mencipta dunia kebahagiaan yang selari bagi peminat di masa-masa sukar ini,” kata Pengarah Sukan kelab itu, Monchi kepada A Balon Parado minggu ini. – AFP