KUALA LUMPUR: Selepas enam tahun menabur bakti bersama Johor Darul Ta’zim (JDT), Luciano Figueroa akhirnya mengucapkan selamat tinggal kepada Harimau Selatan.
Figueroa, 39, menyertai JDT sebagai pemain pada 2014 sebelum dilantik menjadi pengurus pasukan pada 2018 dan membantu mereka mengecapi pelbagai kejayaan.
Kata Figueroa, keputusan itu terpaksa diambil kerana dia perlu pulang ke Argentina demi komitmen terhadap keluarga.
Dalam satu kenyataan di Facebook rasmi kelab, Johor Southern Tigers hari ini, Figueroa mengakui berat hati untuk meninggalkan Harimau Selatan yang dianggap seperti keluarga.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Tunku Mahkota Johor (Tunku Ismail Sultan Ibrahim), Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim serta penyokong atas sokongan tidak berbelah bahagi yang saya perolehi sebagai pemain dan pengurus.
“Saya pergi dengan penuh kenangan manis dan saya amat terharu dengan penamaan sebuah ‘stand’ di Stadium Sultan Ibrahim bersempena nama saya.
“Ia sebuah perjalanan yang indah, memenangi banyak piala dan menjalin banyak hubungan rakan-rakan baharu yang kini saya panggil keluarga,” katanya.
Sepanjang bersama skuad Harimau Selatan sejak 2014, Figueroa telah menjaringkan 42 gol dan ia pencapaian terbaik selaku pemain import, selain mencipta 14 gerakan jaringan selepas mengharungi 71 perlawanan.
Bekas pemain kebangsaan Argentina itu memenangi dua kejuaraan Liga Super pada musim 2014 dan 2015 selain Piala Sumbangsih 2015, disusuli kejayaan terbesar pada 2015 apabila JDT muncul kelab Asia Tenggara pertama menjulang Piala AFC.
Pada 2018, Figueroa kembali menyarung jersi skuad Harimau Selatan dan kemudian membantu pasukan itu memenangi Piala Sumbangsih.