KUALA LUMPUR: Bukan Liga Primeira, namun Safawi Rasid tetap mendapat pengalaman berharga apabila beraksi dalam perlawanan kompetitif pertama di Portugal bersama skuad bawah 23 (B-23) Portimonense awal pagi tadi.
Dalam aksi Liga Revelacao itu, Portimonense tewas 1-3 kepada Sporting di tempat sendiri dan menutup saingan dengan 10 pemain selepas penyerangnya, Sergio Santos dibuang padang pada minit ke-89.
Melihat kelibat Safawi beraksi awal pagi tadi bermakna peminat bola sepak tanah air boleh melupakan untuk menyaksikan kemunculan sulungnya dalam Liga Primeira hari ini.
Sebelum ini, ramai yang ternanti-nanti penampilan bintang Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam pertemuan dengan Maritimo pukul 10.30 malam ini.
Malah, sedar dengan keterujaan peminat, stesen Astro Arena turut menyiarkan perlawanan secara langsung.
Apa pun, perjalanan Safawi, 23, yang dipinjamkan semusim ke Portimonense masih terlalu awal dan panjang.