LISBON: Bintang Juventus Cristiano Ronaldo dikatakan ‘sihat dan berjemur’ selepas disahkan positif Covid-19 yang menyaksikan dia terlepas aksi Liga Negara-Negara UEFA bersama Portugal minggu ini.
Ronaldo tidak menunjukkan gejala dan tidak disenaraikan untuk perlawanan menentang Sweden hari ini, kata Persekutuan Bola Sepak Portugal (FPF).
Pemenang anugerah Ballon d’Or lima kali itu beraksi ketika Portugal seri 0-0 bertemu Perancis di Paris Ahad lalu.
Bagaimanapun menurut FPF, selain Ronaldo, skuad Portugal semuanya negatif, begitu juga pasukan Perancis.
“Kami mengikuti semua langkah pencegahan tetapi ia masih terjadi. Kami menjalani ujian setiap hari,” kata pengendali Portugal, Fernando Santos.
Pertahanan Juventus, Giorgio Chiellini berkata dia ada menghubungi Ronaldo.
“Dia baik-baik saja dan sedang berjemur, dia akan kembali apabila bersedia,” kata Chiellini. – AFP