MILAN: Bintang Juventus, Cristiano Ronaldo akhirnya diuji negatif Covid-19 selepas hampir tiga minggu namun kelab Serie A, Atalanta, Sassuolo, Crotone dan Parma mencatatkan kes baharu.
Pada 13 Oktober lalu, Ronaldo, 35, diuji positif Covid-19 buat kali pertama ketika beraksi bersama skuad kebangsaan Portugal.
“Ronaldo menjalani ujian swab (calitan) untuk Covid-19. Keputusan itu negatif.
“Jadi pemain itu sudah pulih selepas 19 hari dan dia tidak perlu lagi dikuarantin di rumah,” kata Juventus dalam satu kenyataan hari ini.
Juventus akan menentang Spezia dalam perlawanan Serie A tanpa penonton di tempat lawan esok, dan tidak dapat dipastikan apakah Ronado bersedia diturunkan.
Sementara itu, pendahulu Serie A, AC Milan mengesahkan pemain pertahanan, Matteo Gabbia; penjaga gol, Gianluigi Donnarumma dan penyerang, Jens Petter Hauge diuji negatif.
Donnarumma dan Hauge ‘dibenarkan kembali menjalani latihan’ sebelum Milan yang memegang rekod tanpa kalah berkunjung ke Udinese esok namun Gabbia ‘masih perlu menjalani pemeriksaan perubatan’ umum kelab hari ini.
Ronaldo terlepas empat perlawanan termasuk ketika mereka tewas kepada Barcelona 0-2 dan menang 2-0 di Dynamo Kiev dalam aksi Kumpulan G.
Di Bergamo, sidang media praperlawanan pengendali Atalanta, Gian Piero Gasperini terpaksa dibatalkan selepas terdapat kes positif dalam kalangan jurulatih pasukan.
Crotone turut mengesahkan pemain tengah mereka Salvatore Molina menunjukkan gejala dan menjalani kuarantin kendiri.