SAO PAULO: Bekas penyerang Brazil, Ronaldinho diuji positif Covid-19 namun tidak mengalami gejala.
Bekas pemain Barcelona dan Paris Saint-Germain itu kini berada di hotel Belo Horizonte, tempat di mana dia pernah bersama dengan kelab tempatan Atletico Mineiro, untuk pengasingan diri.
“Saya tiba di (Belo Horizonte) semalam. Saya mengambil ujian saringan Covid-19. Saya didapati positif.
“Saya dalam keadaan baik dan tidak bergejala buat masa sekarang,” kata Ronaldinho menerusi Instagram hari ini.
Bekas pemain AC Milan berusia 40 tahun itu berkata, dia akan menetap di hotel sehingga keadaannya pulih daripada wabak tersebut.
Pemain Terbaik Dunia dua kali itu tiba di Brazil selepas ditahan selama lima bulan di Paraguay atas kesalahan memalsukan pasport.
Lebih 156,000 kematian akibat Covid-19 dicatatkan berlaku di Brazil, dengan jumlah tersebut berada di belakang Amerika Syarikat.- AGENSI