MILAN: Zlatan Ibrahimovic meledak dua gol, namun AC Milan terpaksa menanggung seri buat kali pertama dalam saingan Serie A musim ini selepas AS Roma bangkit dari ketinggalan untuk mengikat kedudukan 3-3 di San Siro, pagi ini.
Pada perlawanan yang berlangsung dalam stadium kosong ekoran pandemik Covid-19, Milan turun tanpa penjaga gol, Gianluigi Donnarumma dan penyerang muda, Jens Petter Hauge yang dijangkiti virus berkenaan.
Penjaga gol veteran dari Romania, Ciprian Tatarusanu, yang menyertai Milan September lalu, membuat penampilan sulung menggantikan Donnarumma, dan beberapa kali melakukan kesilapan.
Ibrahimovic membuka jaringan tuan rumah seawal minit kedua, namun Edin Dzeko yang tidak dikawal ketika Roma mengambil sepakan sudut menyamakan kedudukan 13 minit kemudian.
Milan bermula garang sebaik sahaja babak kedua bersambung apabila Alexis Saelemaekers menyudahkan hantaran Leao pada minit ke-47.
Bagaimanapun, pemain tengah Perancis, Jordan Veretout menyempurnakan sepakan penalti bagi gol penyamaan Roma pada minit ke-71 susulan kekasaran oleh Ismael Bennacer.
Ibrahimovic meledak gol keduanya dengan sepakan penalti minit ke-78 tetapi Roma sekali lagi menyamakan kedudukan menerusi Marash Kumbulla pada minit ke-83.
Milan dengan 13 mata kekal di puncak Serie A, dua mata di depan Napoli yang memenangi kesemua empat perlawanan setakat ini, dan Sassuolo. Roma di tangga kelima. – AFP