Red Giants kenduri gol - Utusan Malaysia

Red Giants kenduri gol

PENYERANG Selangor, Ifedayo Olusegun (tengah) cuba melepasi halangan pemain PDRM dalam aksi Liga Super di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras malam ini. - IHSAN SELANGOR FA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Selangor berpesta gol di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras selepas membelasah PDRM 7-0 dalam aksi Liga Super sebentar tadi.

Keputusan itu menyaksikan Red Giants buat kali pertama merekodkan jaringan terbanyak dalam liga musim ini selepas mengharungi 10 perlawanan.

Kekalahan itu pula menyaksikan skuad The Cops yang telah tersingkir ke Liga Perdana musim depan terus gagal merasai kemenangan dalam 10 perlawanan yang diharungi dengan saingan masih berbaki satu aksi lagi.

Pesta gol Selangor bermula pada minit ke-19 menerusi tandukan penyerang sensasinya, Ifedayo Olusegun yang menyudahkan hantaran lintang Ashmawi Yakin.

Sean Selvaraj berjaya menggandakan jaringan buat Selangor pada minit ke-26 sebelum menambah gol kedua peribadinya dengan menyudahkan umpanan Sandro da Silva minit ke-33 bagi meletakkan pasukannya selesa mendahului 3-0.

Bersambung babak kedua, Selangor terus bernafsu memburu gol dan jaringan keempat diperolehi hasil ledakan pemain tengah, Brendan Gan pada minit ke-69 sebelum Ifedayo menjaringkan gol kelima, lima minit kemudian.

Walaupun mendahului lawan dengan lima gol namun Selangor langsung tidak mengendurkan serangan dan hasilnya dua gol lagi  diperolehi menerusi Safuwan Baharudin pada minit ke-80 sebelum Rufino Segovia melengkapkan malam bergaya dengan gol ketujuh tiga minit kemudian.

Kemenangan itu memberi tiga mata berharga buat Red Giants selepas sekadar meraih satu mata susulan keputusan seri 3-3 menentang UiTM FC, minggu lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya