BARCELONA: Kapten Real Madrid, Sergio Ramos menjadi contoh buat pasukannya apabila menyempurnakan sepakan penalti dan membawa Los Blancos menundukkan Barcelona 3-1 dalam aksi El Clasico di Camp Nou sebentar tadi.
Pertemuan pertama dua musuh tradisi dalam saingan La Liga musim ini berlangsung tanpa penonton dan amat mendebarkan di awal permainan.
Federico Valverde menghukum benteng Barcelona seawal minit kelima selepas menyempurnakan hantaran Karim Benzema.
Barcelona bagaimanapun hanya memerlukan tiga minit untuk membalas menerusi pemain remaja sensasi, Ansu Fati.
Memasuki babak kedua, Real menggandakan asakan sehingga mendorong pertahanan Barcelona, Gerard Pique menjatuhkan Ramos dalam kotak penalti.
Pengadil kemudian menghadiahkan penalti selepas melihat ulang tayang video bantuan pengadil (VAR), dan Ramos tidak melakukan kesilapan apabila merobek gawang lawan pada minit ke-63.
Usaha Barcelona untuk sekurang-kurangnya bangkit menyamakan kedudukan berkubur selepas Luka Modric meledak gol ketiga Real di hujung permainan. – AGENSI