PARIS: Thomas Tuchel mengakui Paul Pogba sebagai salah seorang pemain tengah terbaik dunia menjelang pertemuan Paris Saint-Germain (PSG) berdepan Manchester United.
PSG menerima kunjungan United di Paris awal pagi ini untuk aksi pembukaan Kumpulan H saingan Liga Juara-Juara (UCL).
Menjelang pertemuan itu, pengendali PSG itu memuji Pogba yang sebelum ini dikaitkan dengan perpindahan ke juara Ligue 1 berkenaan.
“Dia salah seorang pemain tengah terbaik dunia. Terdapat kunci untuk menghalangnya dan Bruno Fernandes yang kerap melakukan hantaran jauh.
“Mereka antara kelab terbaik Eropah dalam transisi menyerang. Ia amat penting untuk menghentikan serangan balas mereka.
“Kami mahu mengawal bola, kami mahu mendominasi permainan dan mempamerkan gaya permainan. Kami memerlukan struktur yang baik dan perlu terus melakukan tekanan,” katanya.
Neymar dijangka akan membarisi kesebelasan utama selepas diketepikan dalam aksi liga minggu lepas bagi memberi rehat yang cukup kepada bintang Brazil itu. – AGENSI