Piala Malaysia main macam biasa - Utusan Malaysia

Piala Malaysia main macam biasa

HAMIDIN Mohd. Amin ketika ditemu pemberita selepas menerima Darjah Cemerlang Seri Melaka sempena Sambutan Hari Jadi Yang Ke-71 Yang Dipertua Negeri Melaka, di Ayer Keroh, Melaka hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kejohanan tertua di Asia Tenggara, Piala Malaysia akan diteruskan seperti yang dirancang bagi aksi musim ini, kata Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin.

Pengesahan itu sekali gus menamatkan spekulasi yang mendakwa saingan tersebut kononnya buat pertama kali akan dibatalkan susulan berlakunya gelombang ketiga Covid-19 di negara ini.

Kata Hamidin, sesi undian dijangka diadakan pada 20 Oktober ini, sebelum saingan sebenar membuka tirai pada 25 dan 26 Oktober.

“Setakat ini pertandingan Piala Malaysia diteruskan dan sesi undian akan kita lakukan pada 20 Oktober ini.

“Saya percaya kita ada masa sehingga November untuk habiskan Piala Malaysia, jadi kita berharap saingan itu akan diteruskan pada tahun ini,” katanya selepas menerima Darjah Cemerlang Seri Melaka (DCSM) yang membawa gelaran Datuk Wira sempena Sambutan Hari Jadi Yang Ke-71 Yang Dipertua Negeri Melaka, di sini, hari ini.

Sementara itu, Hamidin berkata, kejayaan proses penswastaan kelab bola sepak di Malaysia akan mengambil sekurang-kurangnya tiga atau empat tahun untuk melihat keberhasilannya.

Tegas beliau, penyokong tidak boleh sewenang-wenangnya berharap segala masalah seperti tunggakan gaji dan isu-isu lain yang berbangkit dapat diselesaikan pada tahun pertama penswastaan.

“Tahun depan, penswastaan ini baru di peringkat pertama bermakna persatuan akan berubah kepada sendirian berhad atau pun kelab bola sepak, proses ini akan berterusan selepas ini.

“Hendak kata tahun depan tiada masalah gaji tertunggak itu, pada saya mungkin belum lagi. Tetapi saya percaya kita akan mengurangkan segala masalah seperti itu melalui kerjasama ‘club licensing’ yang telah diputuskan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

“Saya percaya, untuk tiga atau empat tahun akan datang segala masalah dan isu berbangkit seperti yang berlaku sebelum ini akan berjaya kita kurangkan atau hapuskan terus,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas status skuad kebangsaan sepanjang musim Covid-19, Hamidin berkata, pemain-pemain kini masih aktif bermain untuk pasukan masing-masing dalam saingan domestik, sekali gus tidak menjejaskan prestasi mereka menghadapi kejohanan besar akan datang.

Bagaimanapun, menurutnya, skuad Harimau Malaya bagaimanapun terpaksa menunggu sehingga Mac tahun depan untuk kembali beraksi dalam saingan Kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023.

“Kita difahamkan kejohanan itu akan diadakan pada Mac 2021, namun seandainya Covid-19 masih berterusan, berkemungkinan kita akan bermain secara karnival pada bulan Mac dan Mei di negara-negara seperti Qatar, Emiriah Arab Bersatu (UAE) atau mana-mana negara yang dibenarkan,” katanya lagi.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya