KUALA LUMPUR: Gara-gara peningkatan kes Covid-19 di Sabah dan Kota Kinabalu diisytihar zon merah Covid-19, perlawanan terakhir Liga Super di antara skuad Tambadau menentang UiTM FC di Stadium Likas, Sabtu ini ditunda.
Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dalam satu kenyataan semalam turut meminda perlawanan di antara Perak menentang Kedah di Stadium Perak, Ipoh, selain pertemuan Terengganu FC dan Pahang di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak.
Penundaan aksi Perak-Kedah dan Terengganu-Pahang dibuat berdasarkan faktor perlawanan itu menjadi perebutan tempat kedua Liga Super 2020 dan menentukan kedudukan undian Piala Malaysia.
“Perlawanan Perak menentang Kedah dan TFC bertemu Pahang yang sebelum ini dijadualkan pada 10 Oktober (Sabtu) telah dipinda ke 11 Oktober 2020 (Ahad).
“Venue perlawanan di antara Sabah melawan UiTM FC pada 10 Oktober di Stadium Likas, Kota Kinabalu akan dimaklumkan kelak Kota Kinabalu telah diisytihar sebagai zon merah dan menyebabkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan dalam satu kenyataan semalam.
Katanya, sekretariat MFL sedang mengadakan perbincangan dengan Sabah serta UiTM bagi penjadualan semula dan tarikh itu akan dimaklumkan dalam tempoh terdekat sebelum undian Piala Malaysia.
Kata Ab Ghani, pindaan jadual Liga Super akan menyebabkan perubahan tarikh sepak mula bagi pertandingan Piala Malaysia bagi peringkat pusingan pertama 16 pasukan.
Undian piala tersebut yang sebelum ini dijadual pada 12 Oktober 2020 ditunda ke 19 Oktober sebelum kejohanan paling tertua di Asia Tenggara itu membuka tirai pada 25 dan 26 Oktober berbanding jadual asal pada 16-18 Oktober.
Penangguhan itu juga dibuat selepas MFL amat prihatin dengan situasi semasa pandemik Covid-19 di negara yang agak membimbangkan apabila menunjukkan peningkatan kes.
“Keputusan ini dibuat berdasarkan keadaan semasa Covid-19 yang sedang meningkat dan MFL berprihatin kepada permasalahan yang berlaku,” katanya.