IPOH: Penyokong Perak tidak perlu bimbang skuad Bos Gaurus akan menggunakan nama ‘merapu’ apabila melengkapkan penjenamaan pasukan musim depan.
Pasukan itu sebaliknya akan tetap dikenali sebagai Perak dengan menambah FC (Football Club) di hujung nama mereka.
Jaminan itu diberikanh Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa), Datuk Adly Shah Ahmad selepas menerima memorandum dari Kelab Gabungan TBG MOBS yang merayu Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) supaya menggunakan Perak FC dalam proses penswastaan.
Memorandum itu diserahkan Timbalan Presiden TBG MOBS, Noor Azli Salleh dan ahli jawatankuasa Persatuan itu Mohd. Jefri Amin di pejabat Pafa di sini hari ini.
TBG MOBS meminta Pafa menggunakan nama Perak FC dan bukan nama lain berikutan desas desus Perak akan bergelar Bos Gaurus FC.
“Tidak betul berita itu kerana kami dalam proses menukar nama ke Perak FC.
“Penggunaan Perak FC memerlukan kelulusan daripada kerajaan negeri, oleh kerana hendak cepat kita bubuh nama lain dahulu.
“Insya-Allah permohonan itu akan diluluskan dalam tempoh terdekat,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Terdahulu, Presiden TBG MOBS , Syamsul Baharin Ahmad Shibi berkata, penyokong berasa janggal jika tiada perkataan ‘Perak’ pada pasukan yang diswastakan itu nanti.
“Janggal jika tiada nama Perak nanti. Setakat ini kami tidak pasti apa nama digunakan tetapi yang kami dengar Bos Gaurus FC.
“Kami tidak mahu nama pasukan itu dipersendakan jika menggunakan akronim TBG nanti,” kata Shamsul Baharin kepada pemberita sebelum penyerahan memorandum kepada badan induk bola sepak Perak itu.