KUANTAN: Perak bangkit daripada ketinggalan 0-3 pada babak pertama untuk mengikat Pahang 3-3 dalam aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur di sini malam ini.
Pahang memperoleh gol pertama pada minit kelapan menerusi jaringan R. Dinesh hasil lorongan bola Nik Muhammad Shariff Haseefy Lazim.
Pada minit ke-26, Pahang melebarkan jurang gol menerusi Nik Muhammad Shariff yang berjaya melepasi pertahanan Perak sebelum melakukan rembatan kencang menewaskan penjaga gol pelawat, Muhamaad Hafizul Hakim.
Terus menggandakan asakan dan pada minit ke-41 giliran Ivan Carlos pula mencatat nama sebagai penjaring gol untuk memastikan Tok Gajah mendahului dengan selesa 3-0.
Bermula separuh masa kedua, anak buah Mahmed tidak menunggu lama untuk mendapatkan gol pertama menerusi K. Partiban.
Serangan bertali arus skuad Perak nyata tidak menyenangkan Dollah yang akhirnya memasukkan Dickson Nwakamae untuk membantu kembali jentera serangan Pahang memburu gol.
Namun taktikal Dollah kurang menjadi apabila Muhammad Shahril Fitri pula menewaskan penjaga gol Pahang, Mohd. Helmi Eliza pada minit ke-84 untuk merapatkan jurang gol.
Nasib Pahang terus malang selepas Partiban sekali lagi merobek gawang tuan rumah pada minit ke-90 sekali gus menamatkan perlawanan dengan kedua-dua pasukan berkongsi satu mata.